Dari Melaka pergi ke Pahang,
Singgah di Johor beli berangan,
Kami ucapkan Selamat Datang,
Apa yang kurang dicaci jangan.
Negeri Pahang aman sentosa,
Kaya dengan tumbuh-tumbuhan,
Niat di hati bang oi nak buat jasa,
Mudah-mudahan Tuhan Kabulkan
Bukan kacang sebarang kacang,
Kacang melilit si kayu jati,
Bukan datang sebarang datang,
Datang membawa hajat di hati.
Ayam kuning buat sarang,
Orang tamak selalu rugi,
Bagai anjing dengan bayang.
Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.
Apa guna kepuk di ladang,
Kalau tidak berisi padi,
Apa guna rambut panjang,
Kalau tidak berani mati.
Apa guna kepuk di ladang,
Kalau tidak berisi padi,
Apa guna keris di pinggang,
Kalau tidak berani mati.
Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu,
Suruh makan saya makan,
Suruh mengaji saya tak tahu.
Anak rusa nani,
Baru kembang ekor,
Apa dosa kami,
Lalu tidak tegur.
Buai laju-laju,
Sampai puncak sana,
Apa dalam baju,
Sekuntum bunga cina.
Timang tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap,
Belum tumbuh gigi,
Pandai baca kitab.
Pok amai-amai,
Belalang kupu-kupu,
Bertepuk adik pandai,
Malam nanti upah susu.
Susu lemak manis,
Santan kelapa muda,
Adik jangan menangis,
Emak nak buat kerja.
Air pasang pagi,
Surut pukul lima,
Bangun pagi-pagi,
Siram pokok bunga.
Pokok bunga melur,
Tanam tepi batas,
Itik bertelur,
Ayam menetas.
Burung kakak tua,
Hinggap di jendela,
Nenek sudah tua,
Giginya tinggal dua.
Geylang si paku Geylang,
Geylang si rama-rama,
Pulang marilah pulang,
Marilah pulang bersama-sama.
Burung kenek-kenek,
Terbang tinggi di awan,
Pesan datuk nenek,
Pandai-pandai cari kawan.
Burung kenek-kenek,
Hinggap di atas dahan,
Pesan datuk nenek,
Sujudlah pada Tuhan.
Burung kenek-kenek,
Hinggap tepi perigi,
Pesan datuk nenek,
Bangun pagi-pagi.
Burung kenek-kenek,
Hinggap di atas atas,
Pesan datuk nenek,
Rajin-rajin baca kitab.
Burung kenek-kenek,
Hinggap atas bumbung,
Pesan datuk nenek,
Jangan laku sombong.
Burung kenek-kenek,
Hinggap pohon kelapa,
Pesan datuk nenek,
Patuh ibu-bapa.
Tu bulan tu bintang,
Tu pucuk kayu ara,
Mengapa tuan datang?,
Nak jengok anak dara.
Sudah Gaharu Cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.
Kalau Tuan pergi ke kedai,
Belikan saya buah keranji,
Kalau tuan bijak pandai,
Apa binatang keris di kaki?
Kelip-kelip kusangka api,
Kalau api mana asapnya?
Kalau ghaib disangkakan mati,
Kalau mati mana kuburnya?
Budak-budak bermain batu,
Batu dikira satu persatu,
Badannya lurus bermata satu,
Ekornya tajam apakah itu?
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Apa guna berkain batik,
Kalau tidak dengan sujinya?
Apa guna beristeri cantik,
Kalau tidak dengan budinya.
Banyak ubi perkara ubi,
Ubi keledek ditanam orang,
Bayak budi perkara budi,
Budi yang baik dikenang orang.
Baik-baik bertanam padi,
Jangan sampai dimakan rusa,
Baik-baik termakan budi,
Jangan sampai badan binasa.
Jika dilurut padi masak,
Jatuh ke tanah berderai-derai,
Jika takut dilandai ombak,
Jangan berumah di tepi pantai.
Seri Mersing lagulah Melayu,
Dikarang oleh biduan dahulu,
Hatiku rungsing bertambah pilu,
Mengenang nasib untung diriku.
Pagi-pagi pergi ke sawah,
Hendak ditajak pokok mengkudu,
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati siapa yang tahu.
Asal kapas menjadi benang.
Dari benang dibuat kain,
Barang yang lepas jangan dikenang,
Sudah menjadi hak orang lain.
Apa diharap padi seberang,
Entahkan jadi entahkan tidak,
Apa diharap kasihnya orang,
Entahkan jadi entahkan tidak.
Kusangka nanas atas permatang,
Rupanya durian tajam berduri,
Kusangka panas hingga ke petang,
Rupanya hujan di tengah hari.
Kerat-kerat kayu di ladang,
Hendak dibuat hulu cangkul,
Berapa berat mata memandang,
Berat lagi bahu yang memikul.
Dari Jawa ke Bengkahulu,
Membeli keris di Indragiri,
Kawan ketawa ramai selalu,
Kawan menangis seorang diri.
Pohon pepaya di dalam semak,
Pohon manggis sebesar lengan,
Kawan tertawa memang banyak,
Kawan menangis diharap jangan.
Kalau menangkap ikan di kurau,
Rentang jaring hingga ke seberang,
Adat hidup sahabat bergurau,
Sudah mati terbaring seorang.
Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih saya lurutkan,
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.
Di Tanjung Katung airnya biru,
Di situlah tempat mencuci mata,
Duduk sekampung lagikan rindu,
Inikan pula jauh di mata.
Kalau tidak kelapa puan,
Tidaklah puan kelapa bali,
Harap-harap kepada tuan,
Tidak tuan siapa lagi.
Pucuk pauh delima batu,
Genggam di dalam tangan,
Tuan jauh beribu batu,
Hilang di mata di hati jangan.
Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Biar jauh beribu batu,
Hilang di mata di hati jangan.
Tanam pinang rapat-rapat,
Biar senang puyuh berlari,
Ku pinang-pinang tak dapat-dapat,
Ku pujuk-pujuk kubawa lari.
Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.
Anak cina memasang lukah,
Lukah dipasang di Tanjung Jati,
Di dalam hati tidak kulupa,
Bagai rambut bersimpul mati.
Batang selasih permainan budak,
Daun sehelai dimakan kuda,
Bercerai kasih bertalak tidak,
Seribu tahun kembali juga.
Burung merpati terbang seribu,
Hinggap seekor di tengah laman,
Hendak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan.
Kalau tuan mudik ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja,
Kalau Tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.
Kalau ada jarum yang patah,
Jangan simpan di dalam peti,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Dua tiga kucing berlari,
Mana kan sama si kucing belang,
Dua tiga boleh kucari,
Mana kan sama adik/abang seorang
Pisang Emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.
Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padi,
Hari mana bulan mana,
Dapat kita berjumpa lagi?